PELBAGAI kitab yang menghurai ilmu Sifat 20 bagi memelihara akidah masyarakat daripada dimurtadkan oleh penjajah. FOTO Arkib NSTP
PELBAGAI kitab yang menghurai ilmu Sifat 20 bagi memelihara akidah masyarakat daripada dimurtadkan oleh penjajah. FOTO Arkib NSTP
Muhamad Khairi Asyraf Basri

Kesultanan Melayu Melaka jatuh pada 1511 apabila mula ditakluk penjajah Portugis yang datang dengan semangat 3G iaitu Gold, Gospel and Glory. Penjajahan Melaka ini adalah kesinambungan daripada kejatuhan tamadun Islam di Andalusia pada 1492 di tangan Ratu Isabella yang juga respons pemerintah Eropah kepada penaklukan Uthmaniyah ke atas Konstantinopel pada 1453 sebelum itu.

Kejatuhan Melaka ini hasil serangan bertali arus Alfonso de Albuquerque yang pada ketika itu baru sahaja berjaya merampas Goa daripada tangan umat Islam di India. Alfonso de Albuquerque kemudian ingin menuju ke Hijaz bagi memusnahkan Makkah dan Madinah. Namun, Alfonso de Albuquerque menerima arahan daripada Raja Portugal untuk menjatuhkan Melaka terlebih dahulu.

Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Venice of The East ini adalah sebuah pusat tumpuan perdagangan yang terpenting di dunia. Empayar Kesultanan Melayu Melaka adalah kerajaan yang luar biasa kekayaannya sehingga Alfonso de Albuquerqe berkata: "Jika Melaka berjaya dirampas daripada tangan umat Islam, nescaya Makkah dan Kaherah akan hancur binasa."

Setelah Melaka ditakluk oleh penjajah, pelbagai usaha untuk memurtadkan umat Islam giat dilakukan seperti yang dilaksanakan di Filipina. Buktinya, pihak penjajah menghantar St Francis Xavier bagi melaksanakan misi berkenaan. Melaka kemudian terus menerima penjajahan daripada Belanda dan British pula. Penjajah itu semua cuba menghapuskan peninggalan sejarah kegemilangan Islam di Melaka. Antaranya, istana sultan dan Masjid Agung Melaka dimusnahkan lalu dibina bangunan penjajah di tapaknya.

Pelbagai catatan penting seperti manuskrip dan kitab yang ada dalam empayar Kesultanan Melayu Melaka dilarikan ke Eropah untuk dikaji oleh orientalis. Cara hidup dan gaya pemikiran masyarakat juga cuba diubah. Ini semua untuk membunuh kekuatan bangsa Melayu daripada melakukan kebangkitan semula. Pihak penjajah berpegang kepada prinsip: "Jika hendak membunuh sebatang pokok, racunilah akarnya. Jika hendak membunuh sesuatu bangsa, racunilah sejarahnya."

Walau pelbagai usaha dilakukan, penjajah gagal memurtadkan Melaka. Ini kerana bangsa Melayu pada ketika itu sudah ditanam dengan pasak akidah yang kukuh di dalam hati mereka. Sejak awal kedatangan Islam yang dibawa oleh ulama, Melaka berpegang kepada akidah Ahli Sunah Waljamaah mengikut manhaj Imam Abu Hassan al-Asy'ari, iaitu seorang ulama tauhid zaman Salaf yang bermazhab Syafie. Bahkan, Melaka dahulunya adalah pusat keilmuan dan penyebaran Islam di Nusantara.

Kini pengajian akidah ini dikenali sebagai Tauhid Sifat 20. Dengan akidah Sifat 20 inilah bangsa Melayu dapat memelihara akidah mereka daripada dimurtadkan. Antara inti pati Sifat 20 ini adalah huraian mengenai Sifat Wujud, Wahdaniah dan Mukhalafatuhu lil hawadis. Sifat Wujud menegaskan kewujudan Allah bagi melawan fahaman atheis. Sifat Wahdaniah menegaskan keesaan Allah bagi melawan fahaman Trinity. Sifat Mukhalafatuhu lil hawadis menegaskan bahawa Allah itu tidak sama seperti makhluk.

Ulama Melayu terus mempertahankan tradisi pengajian akidah ini dengan menulis pelbagai kitab yang menghurai ilmu Sifat 20 bagi memelihara akidah masyarakat daripada dimurtadkan oleh penjajah. Antara kitab akidah terkenal yang ditulis oleh ulama Nusantara adalah kitab Durar al-Faraid karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi, Durrus Tsamin karya Syeikh Daud al-Fathani, Bakuratul Amani karya Syeikh Ismail al-Fathani, Aqidatun Najin karya Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Zahratul Murid karya Syeikh Wan Ali Kutan dan Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Semua kitab akidah ulama Nusantara bersambung sanadnya kepada Imam Abu Hassan al-Asy'ari Asy-Syafie. Sanad keilmuan Imam Abu Hassan al-Asy'ari pula sampai kepada Imam asy-Syafie melalui Imam Zakaria as-Saji, kepada Imam Ahmad bin Hanbal, kepada Imam asy-Syafie. Sanad keilmuan Imam asy-Syafie pula sampai kepada Rasulullah melalui dua jurai utama. Jurai pertama, daripada Imam Malik, kepada Imam Nafi', kepada Saiyidina Ibn Umar, kepada Rasulullah. Jurai kedua daripada Imam Muhammad bin Hassan asy-Syaibani, kepada Imam Abu Hanifah, kepada Imam Hammad bin Sulaiman, kepada Imam Ibrahim an-Nakhaie, kepada Saiyidina Ibn Mas'ud, kepada Rasulullah SAW.

Dengan adanya sanad keilmuan yang diwarisi daripada Rasulullah SAW terutama sekali dalam ilmu akidah melalui pengajian tauhid Sifat 20 ini, bangsa Melayu berjaya memelihara pemikiran dan keimanan mereka daripada dipesongkan oleh penjajah. Walaupun penjajah mengambil puluhan ribu manuskrip keilmuan Melayu, tradisi pengajian ilmu agama tetap berjaya dipertahankan oleh ulama.

Manuskrip-manuskrip tersebut disimpan antaranya di School of Oriental and Africa Studies (SOAS), British Museum dan British Library di Britain, Universiti Leiden di Belanda, Universiti Hamburg di Jerman dan arkib di Rusia. Manuskrip yang ada di Malaysia hanya sekitar 5,000 dan itupun belum habis dikaji semuanya. Itu belum lagi pelbagai khazanah bernilai jutaan ringgit yang karam di tengah lautan ketika diangkut oleh kapal Portugis.

Walaupun sudah merdeka daripada penjajahan fizikal, bangsa Melayu kini seharusnya tegas mempertahankan tradisi dan jati diri agar tidak dijajah secara pemikiran dan cara hidup Barat. Ini bagi memastikan masyarakat sekarang dapat melawan serangan pemikiran Barat seperti liberalisme, sekularisme, atheism dan lain-lain yang giat disebarkan. Sesungguhnya umat Islam kini perlu sedar dan segera bangkit dengan menjadikan peristiwa hitam kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 sebagai pengajaran.

Penulis Ketua Biro Dakwah Media Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:15 AM