Datuk Seri Sim Choo Thiam
Datuk Seri Sim Choo Thiam
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pengarah syarikat memohon bagi mengetepikan empat tuduhan rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Susulan itu, Datuk Seri Sim Choo Thiam yang memfailkan notis permohonan menerusi firma guaman, Tetuan Low di Mahkamah Sesyen kelmarin, memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada semua tuduhan terbabit.

"Selain itu, apa-apa perintah lanjut, lain, arahan dan relif yang difikirkan sesuai serta wajar oleh mahkamah. Alasan bagi menyokong notis permohonan dihuraikan dalam afidavit sokongan.

"Responden (pendakwaan) melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah serta siasatan kes adalah pada setiap masa material tidak lengkap," katanya.

Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan perbicaraan kes pengarah syarikat itu selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024.

Pada 10 Mei lalu, Choo Thiam, 54, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap keempat-empat tuduhan terbabit.

Bagi tuduhan pertama, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Dia juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Kesemua tuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Choo Thiam berkata, pendakwaan diberikan masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah untuk menyerahkan kepadanya satu pernyataan bertulis fakta berkaitan permohonan itu.

"Ada fakta memihak kepada pembelaan iaitu pemohon (Choo Thiam) didakwa di mahkamah dengan empat pertuduhan pada pagi 10 Mei lalu, SPRM kemudian merekodkan kenyataan Hamzah pada petang hari sama.

"Fakta bahawa dua kenyataan pemohon direkodkan oleh SPRM pada 16 dan 28 Februari lalu, masing-masing mengandungi pelbagai kenyataan melepaskan yang tidak menyokong mana-mana unsur kesalahan seperti didakwa dalam setiap pertuduhan rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 2:52 PM