HAMZAH pada sidang media di Ibu pejabat PN. FOTO Fathil Asri
HAMZAH pada sidang media di Ibu pejabat PN. FOTO Fathil Asri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin menghantar surat tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dakwaan mengaitkan beliau dengan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, surat tuntutan itu sudah dihantar peguamnya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara.

"Ia bermula pada dua malam lalu apabila saya mengeluarkan satu ucapan tentang satu kes seorang individu yang bernama Steven Sim Choo Thiam yang dibawa ke mahkamah oleh SPRM.

"Ketika itu saya mempersoalkan tentang mengapa dakwaan ini dikenakan dan disabitkan dengan nama saya dan apabila saya tanyakan kepada semua pengundi di hadapan saya, apakah saya harus ambil tindakan terhadap agensi atau kerajaan Malaysia tentang isu ini maka semua yang ada di hadapan saya memohon saya melakukannya.

"Susulan itu, saya sudah bertemu dengan peguam malam tadi dan surat tuntutan berkenaan sudah dihantar hari ini kepada semua pihak terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.

Hamzah berkata, tuntutan itu menuntut supaya semua pihak terbabit menghentikan politik sebelah pihak.

"Penjawat awam adalah pelindung bersumpah hak perlembagaan rakyat dan tidak boleh melanggar hak berkenaan.

"Jika anda berterusan melanggar kewajipan dan kewajipan bersumpah perlembagaan anda, kami mempunyai arahan pelanggan kami untuk segera memulakan prosiding terhadap anda untuk menuntut pampasan bagi kehilangan dan kerosakan kepada pelanggan kami dan untuk melindungi dan membuktikan reputasi pelanggan kami," katanya ketika membacakan tuntutan berkenaan.

Hamzah juga menyifatkan tuduhan itu sebagai satu bentuk kezaliman.

"Kalau ia boleh berlaku kepada Steven Sim, ia juga boleh berlaku kepada mana-mana ahli perniagaan dan rakyat.

"Tindakan menakut-nakutkan ahli perniagaan dan rakyat dengan menyalahgunakan kuasa penjawat awam boleh menjejaskan keyakinan pelabur. Ini jelas wujud konspirasi yang menggunakan SPRM," katanya.

Pada 10 Mei lalu, ahli perniagaan Sim Choo Thiam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap empat tuduhan dihadapinya.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pada Jun 2021.

Dia juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 5:47 PM