Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Semua empat pertuduhan berkenaan dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini.

Choo Tiam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). FOTO ASYRAF HAMZAH
Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). FOTO ASYRAF HAMZAH

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili tiga peguam iaitu Low Wei Loke, Hannah Kam dan Kei Wei Lon.

Dalam hujah pendakwaan, Ahmad Akram memaklumkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah memutuskan membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM1 juta berserta syarat tambahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada Mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 14 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 11:08 AM