Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengingatkan wakil parti politik supaya menghantar borang permohonan permit bagi mengadakan ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dengan lebih awal.

Katanya, permohonan awal itu adalah bagi mengelak pertembungan antara satu sama lain dan permit berkenaan boleh dipohon sebaik sahaja pembubaran dilakukan.

"Walaupun kita akan 'melayan' (bagi permohonan) dalam tempoh 24 jam, tetapi mohonlah lebih awal.

"Kita tidak mahu mana-mana parti apabila minta permit, rupa-rupanya tempat itu sama dengan parti yang lain," katanya pada sidang media Taklimat PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, selepas di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negeri Datuk Khaw Kok Chin.

RAZARUDIN pada sidang media selepas meninjau bilik gerakan polis bagi persiapan PRN di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong
RAZARUDIN pada sidang media selepas meninjau bilik gerakan polis bagi persiapan PRN di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong

Razarudin turut menasihati golongan ahli politik khususnya 'orang lama' supaya tidak menyentuh mengenai isu sensitif membabitkan agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race).

Katanya, PDRM juga meletakkan pasukan khas terdiri daripada pegawai perakam dan pegawai di zon di setiap kempen atau ceramah.

"Nasihat saya kepada parti politik yang akan bertanding, mereka semua orang lama, jadi tiga isu ini jangan disentuh kerana boleh mendatangkan ketidakharmonian.

"Ketika kempen, kita letakkan pegawai perakam dan pegawai zon malah mereka ditetapkan sebagai petugas dalam PRN yang mana siasatan akan dijalankan oleh Bukit Aman atau Kontinjen itu sendiri," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 40,000 pegawai dan anggota PRDM terbabit dengan pengawasan sepanjang PRN di enam negeri dan sebanyak 663 ditempatkan di Pulau Pinang.

Katanya, pegawai dan anggota yang terbabit itu adalah terdiri daripada pasukan dari Bukit Aman dan kontinjen yang tidak terbabit dengan PRN.

"Kita sudah bergerak ke empat negeri bagi menghadiri taklimat persiapan keanggotaan, sumber manusia, perancangan dan kebajikan pada PRN dan sangat berpuas hati malah selepas ini akan ke Kelantan dan Terengganu pula.

"Di Pulau Pinang, Ketua Polis Negeri mengesyorkan dan mohon jumlah keanggotaan yang sangat ideal iaitu tidak terlalu lebih atau kurang sehingga boleh menjejaskan PRN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:32 PM