KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meninjau penugasan warga Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Sungai Kores, Johor, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meninjau penugasan warga Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Sungai Kores, Johor, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain turun padang meninjau penugasan warga Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Sungai Koris, Johor, hari ini.

Ketibaan Razarudin disambut Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar S Muthuvelu dengan diiringi Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit.

Beliau kemudian diberi taklimat oleh Pegawai Pemerintah Medan merangkap Ketua Kompeni Alpha Batalion 5 PGA Asisten Superintendan All Amin Mohamed Zawawi berkaitan keadaan semasa pengoperasian di kawasan tanggungjawab pasukan itu.

Razarudin kemudian dibawa melawat ke Pos PGA Sungai Ayam untuk melihat penugasan anggota di lokasi berkenaan.

Kehadiran Razarudin di lokasi bagi memberi semangat moral kepada anggota-anggota PGA yang sedang bertugas dan berjauhan dengan keluarga.

Pada tinjauan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kepada petugas Op Taring Nyah 1, Johor.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan proses ibadah korban dan pengagihan daging korban kepada anggota-anggota PGA serta penduduk setempat di Kampung Sungai Kores.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PGA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim, Ketua Urus Setia KPN (Antarabangsa), Senior Asisten Komisioner R Supramaniam dan Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner Skandaguru Anandan.

Selain itu, Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Salehin Suleiman dan Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani turut hadir dalam program terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 8:53 PM