ASISTEN Komisioner Mohd Noh Khamis (tengah) menyaksikan Serah Terima Tugas oleh Deputi Superintendan Mazian Jenal (kiri) kepada Superintendan Md Dali Jamil di Markas Taktikal Briged Utara PGA. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ASISTEN Komisioner Mohd Noh Khamis (tengah) menyaksikan Serah Terima Tugas oleh Deputi Superintendan Mazian Jenal (kiri) kepada Superintendan Md Dali Jamil di Markas Taktikal Briged Utara PGA. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak menolak kemungkinan dua individu dikehendaki, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Muhammad Sajjad Kamaruzzaman bertindak menyamar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa untuk melepasi sempadan.

Berikutan itu, Timbalan Komander PGA Briged Utara Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, pihaknya akan bertindak mengetatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelak keduanya bolos ke negara jiran.

Menurutnya, gambar Nicky Liow dan usahawan kosmetik yang turut dikenali sebagai Nur Sajat itu sudah diedarkan di semua pos kawalan PGA dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Perlis.

"Kita percaya kedua individu ini masih berada dalam negara dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan berdasarkan maklumat serta risikan yang diperolehi.

"Anggota PGA turut mengetatkan kawalan di lorong tikus di kawasan sempadan," katanya ketika sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Utara di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Noh hadir di majlis serah terima tugas antara Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 Deputi Superintendan Mazian Jenal dengan Pegawai Pemerintah Batalion 2 Superintendan Md Dali Jamil.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan Nicky Liow sudah diletak dalam senarai individu dikehendaki dan pihak berkuasa terutamanya di sempadan diarah berjaga-jaga bagi berdepan kemungkinan ahli perniagaan itu melarikan diri ke luar negara.

Polis tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan melarikan diri menggunakan lorong tikus di sempadan negara ini.

Pada masa sama, polis juga sedang menyiasat kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat melarikan diri ke luar negara.

Sementara itu, Mohd Noh memaklumkan, Batalion 2 PGA bertugas dalam Op Benteng Covid-19 Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand dan Op Benteng Covid-19 Kawalan Pesisir Pantai Barat Utara Perlis dan Kawalan Keselamatan ICQS bermula 1 Mac lalu.

Beliau berkata, sepanjang penugasan selama sebulan itu, pasukan berkenaan mencatatkan 26 kejayaan membabitkan 22 kes mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, tiga kes (Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63) dan satu kes mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Nilai rampasan barangan dan rampasan membabitkan daun ketum sebanyak 3.5 tan bernilai RM107,010, 465 botol ubat batuk (RM4,650), lima pil kuda (RM300), syabu seberat 4.11 gram (RM411) dan enam motosikal (RM16,500).

"Selain itu, kita menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 20-an yang disyaki terbabit dalam kes tangkapan dan rampasan barangan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 3:56 PM