Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman (kiri) menyerahkan tugasnya kepada Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman (kiri) menyerahkan tugasnya kepada Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand diambil alih Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim daripada Batalion 3 PGA yang berpengkalan di Bidor, Perak mulai hari ini.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya berbangga dengan kesungguhan ditunjukkan anggota pasukan Senoi Praaq terbabit, tanpa melupakan kesedihan susulan kejadian membabitkan dua anggotanya, minggu lalu.

Katanya, kejadian serangan ke atas dua anggota PGA yang diserang penyeludup di Pos TS9, Padang Besar pada 24 November lalu, nyata memberi kesan kepada pasukan itu.

"Dalam kejadian itu, anggota kami Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban ketika berbalas tembakan dan Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera di perut dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Namun dengan amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan, anggota Batalion 3 berjaya menahan 21 lelaki disyaki penyeludup," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas di Markas Taktikal Briged Utara PGA Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Pegawai Pemerintah Batalion 3, Superintendan Rosman Kasman menyerahkan penugasan kawalan sempadan kepada Pegawai Pemerintah Batalion 2, Superintendan Md Dali Jamil.

Nasaruddin berkata, kejadian itu membuka mata semua pihak dan agensi berkaitan sempadan untuk bekerjasama demi menjaga keamanan negara.

Katanya, pelbagai unit termasuk Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Komando VAT69, unit kereta perisai dan unit berkuda dihantar bagi melakukan rondaan di sempadan sepanjang 109 kilometer bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar.

"Saya berharap anggota PGA menjalankan tanggungjawab masing-masing demi menjaga keamanan negara, walaupun masih wujud laluan tikus dan kekangan tembok sempadan serta pagar yang sudah rosak.

"Namun itu bukan alasan untuk kita terus menjalankan tugas menjaga sempadan negara walaupun penyeludup kini kian terdesak berikutan pagar sempadan negara masih ditutup berikutan Covid-19," katanya.

Katanya, dalam penugasan Ops Benteng/Ops Wawasan Kedah dan Perlis bermula 1 November hingga semalam, Batalion 3 PGA berjaya mencatat kejayaan rampasan pelbagai barangan yang cuba diseludup masuk dan keluar dari negara ini bernilai RM179,554.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:03 PM