PASUKAN bomba dan penyelamat melakukan pencarian mangsa di bawah Jambatan Darul Hana sejak awal pagi.
PASUKAN bomba dan penyelamat melakukan pencarian mangsa di bawah Jambatan Darul Hana sejak awal pagi.
Melvin Joni


Kuching: Lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching di sini, awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya dimaklum kejadian oleh orang awam pada 1.35 pagi yang ternampak lelaki jatuh ke dalam sungai dan tidak timbul.

Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikejarkan ke lokasi dan melakukan pencarian awal di sepanjang tebing sebelum membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) di lokasi.

"Turut dijumpai baju berwarna merah, satu cermin mata dan sepasang selipar dipercayai milik mangsa di atas jambatan berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya ditemui pada 5.51 pagi iaitu selepas tiga jam pencarian.

"Mayat dijumpai di sebelah tiang jambatan tempatnya terjatuh dan tenggelam (ke dasar sungai)," katanya yang memberitahu penemuan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 9:36 AM