ANGGOTA PPDA menemukan mayat lelaki yang jatuh ke dalam Sungai Sarawak. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA PPDA menemukan mayat lelaki yang jatuh ke dalam Sungai Sarawak. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Sarawak di Pengkalan Panjang, Tebingan Kuching di sini, tengah hari tadi, ditemukan lemas hari ini.

Mayat mangsa, Iswandi Zaini, 48, ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai pada jam 4.38 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, mayat ditemui di jarak kira-kira 15 meter dari jeti Pengkalan Panjang.

"Mayat mangsa dibawa naik ke jeti dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 1.29 tengah hari.

"Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Operasi mencari dan menyelamat dibantu lima anggota PPDA dari BBP Batu Lintang selain anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mayat mangsa ditemui oleh anggota PPDA pada selaman yang kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 8:00 PM