Zatul Iffah Zolkiply dan Nazdy Harun


Marang: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ru Rendang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Ahmad Samsuri yang bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu itu antara 33 calon yang diumumkan pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di sini malam tadi.

Ia diumumkan Pesuruhjaya Pas Terengganu Senator Datuk Husain Awang dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

PN turut menampilkan 11 muka baharu termasuk seorang calon wanita iaitu Zuraida Md Noor bagi kerusi Dun Ladang.

Daripada 11 muka baharu itu, lima kerusi iaitu Hulu Besut, Telemung, Permaisuri, Seberang Takir dan Kijal akan ditandingi calon Bersatu.

Sementera itu, dua Exco Kerajaan Negeri iaitu Datuk Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang) tidak diumum sebagai calon bagi mempertahankan kerusi masing-masing

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 12:41 AM