TANGKAP layar video pergaduhan tular membabitkan penghantar makanan dengan dua lelaki warga asing di Iskandar Puteri, Johor.
TANGKAP layar video pergaduhan tular membabitkan penghantar makanan dengan dua lelaki warga asing di Iskandar Puteri, Johor.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Syarikat Grab Holdings mengaktifkan semula akaun penghantar makanan yang tular selepas menegur dua warga Singapura mengisi minyak menggunakan tong.

Grab Holding dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung video tular berkenaan dan sudah menjalankan siasatan tererinci.

Menurutnya, akaun penghantar lelaki terbabit cuma digantung sementara bukan ditamatkan berikutan menerima aduan mendakwa lelaki berkenaan mengugut menggunakan senjata.

"Anda mungkin telah mengetahui tentang video viral penghantar makanan yang tular kerana menegur dua warga asing didakwa isi minyak guna tong.

"Laporan dibuat terhadapnya dan ia adalah SOP (Prosedur Operasi Standard kami dimana akaun akan digantung sementara menunggu siasatan dijalankan.

"Akaun itu sudah pun diaktifkan semula setelah siasatan teliti dijalankan mengikut SOP," katanya.

Menurutnya, tindakan itu diambil mengikut SOP ditetapkan bagi memastikan platform Grab selamat digunakan dan dipercayai pelanggan.

Katanya, Grab memandang serius dakwaan ancaman dan ugutan menggunakan senjata melibatkan rakan penghantar mereka.

"Grab memandang serius setiap laporan, terutama sekali melibatkan keselamatan Ini adalah SOP yang kami ikuti untuk setiap laporan yang dibuat.

"Pihak kami juga ingin maklumkan sekali lagi akaun beliau sudah diaktifkan selepas siasatan yang teliti dijalankan," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, penghantar makanan terbabit dalam isu pertengkaran membabitkan warga asing yang didakwa mengisi minyak dalam tong di sebuah stesen minyak dekat Sunway Box, Iskandar Puteri, Johor, mendakwa akaun aplikasi pengendalian makanannya digantung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 10:47 PM