MINYAK diisi ke dalam tong drum untuk dijual dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.
MINYAK diisi ke dalam tong drum untuk dijual dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG lelaki ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas disyaki terbabit aktiviti penyelewengan petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Telupid, Sandakan pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, suspek berusia 25 tahun berkenaan ditahan ketika leka mengisi minyak di stesen berkenaan ke dalam tong.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim berkata, dia bersama dua pegawai menyerbu lokasi itu selepas menerima makluman berhubung kegiatan terbabit.

Menurutnya, sebaik serbuan dijalankan seorang lelaki ditemui sedang leka mengisi minyak di stesen berkenaan.

"Apabila diperiksa, sebanyak 500L (Liter) petrol dan 265L diesel ditemui dalam tong di atas sebuah pikap milik lelaki terbabit.

"Namun, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki bahan bersubsidi itu.

"Pemeriksaan lanjut, stesen minyak berkenaan juga tidak memiliki kebenaran menjual barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel dalam tong drum tanpa permit," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, susulan itu semua minyak dan kenderaan dianggarkan sejumlah RM51,039 dirampas untuk tindakan lanjut.

"Siasatan turut mendapati, suspek membeli minyak berkenaan di stesen itu lalu dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding pasaran.

"Justeru, pihak KPDNHEP akan mengambil tindakan dan siasatan ke atas kedua-dua pihak berkenaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 4:06 PM