MUHAMMAD Hawari. FOTO Ihsan ME 2023
MUHAMMAD Hawari. FOTO Ihsan ME 2023
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Saya kini berada di Kem Dua."

Demikian diperkatakan pendaki orang kurang upaya (OKU) warga Malaysia, Muhammad Hawari Hashim, 33, menggunakan bahasa isyarat yang dirakam dalam video terakhir sebelum dia hilang di kawasan pergunungan Everest pada 19 Mei lalu.

Video dirakam kumpulan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) itu tular baru-baru ini, dengan ramai pengguna media sosial mendoakan ada keajaiban buat pendaki terbabit supaya ditemui selamat.

Difahamkan, video berkenaan dirakam pada 16 Mei lalu semasa mereka berada di Kem Dua sebelum meneruskan misi pendakian ke Kem Tiga dan puncak gunung.

Video berdurasi 18 saat itu juga dirakam dua hari sebelum Muhammad Hawari berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.

Gambar terakhir Muhammad Hawari di atas puncak Everest yang dirakam oleh Sherpa pada 18 Mei lalu turut dikongsi di Facebook ME 2023.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan menggunakan pelbagai kaedah termasuk menyampaikan maklumat kehilangan bapa dua anak itu ke semua kem dan teknologi dron.

Mangsa adalah kumpulan sama yang menyertai ME 2023 bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter.

Harian Metro hari ini melaporkan, penggunaan dua dron berteknologi tinggi menjadi sandaran sepanjang operasi SAR Muhammad Hawari.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif dilaporkan berkata, mereka sudah berada di Lukla selepas diterbangkan dari Kathmandu dengan helikopter seterusnya ke Pheriche dan Everest Base Camp (EBC) untuk mengambil beberapa peralatan logistik sebelum ke Kem Dua di pergunungan Everest sekiranya cuaca baik bagi memulakan operasi SAR.

Selain Azim, operasi SAR disertai pendaki ME 2023, Tiong Tiong Ling Yang, 30; dan Pengurus Pasukan ME 2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 8:19 PM