Dayang Pretty Abbyana Datu Asis

Kuala Lumpur: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menerima sumbangan mesin pengimejan mata berteknologi tinggi bernilai RM1.3 juta.

Sumbangan mesin Heidelberg Spectralis HRA+ OCT Shift itu oleh Yayasan CIMB bagi membantu merawat hampir 50,000 pesakit mata kritikal setiap tahun.

Ia juga dapat mengatasi kekangan dalam industri perubatan berkaitan penyakit mata.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Ahmad Shahriman berkata, sumbangan itu sebahagian teras Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti, dengan pihaknya ingin membantu pengamal perubatan memajukan kajian dan rawatan oftalmologi untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

"Mesin ini berfungsi sebagai alat bantuan tambahan untuk menambah baik keupayaan penyelidikan dalam pelbagai bidang oftalmologi," katanya ketika Majlis Pelancaran Sumbangan Mesin Pengimejan Mata Oftalmologi di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

AHMAD Shahriman (kiri) mencuba mesin pengimejan mata terkini bersama Dr Nazirah (kanan), pada majlis penyerahan mesin itu yang disumbangkan Yayasan CIMB, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
AHMAD Shahriman (kiri) mencuba mesin pengimejan mata terkini bersama Dr Nazirah (kanan), pada majlis penyerahan mesin itu yang disumbangkan Yayasan CIMB, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.

Katanya, Yayasan CIMB sentiasa memperjuangkan inisiatif jangka panjang yang meningkatkan impak positif yang lestari terhadap masyarakat.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hasnan dan Pakar Oftalmologi PPUM, Prof Madya Dr Tajunisah Begam Mohd Iqbal.

Sementara itu, Dr Nazirah berkata, teknologi itu adalah yang termaju di Asia Tenggara setakat ini.

"Sumbangan ini memberi manfaat kepada pesakit di PPUM dengan mengurangkan masa yang diambil untuk melakukan diagnosis serta dapat menentukan rawatan tepat untuk diberikan kepada pesakit.

"Saya sendiri sudah mencuba sendiri teknologi HRA+OCT Shift ini, ia hanya mengambil masa 40 saat untuk diagnosis ke atas diri saya," katanya.

Menurutnya, sumbangan ini juga menggalakkan lebih banyak penyelidikan perubatan, malah membantu penuntut bidang berkaitan.

Beliau berharap penggunaan mesin itu juga dapat meningkatkan daya PPUM dalam membantu kumpulan sasaran menerima rawatan holitistik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 4:50 PM