SEBAHAGIAN 11 suspek ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN 11 suspek ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebelas ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang diberkas polis awal bulan ini akan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh, di sini, esok.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kertas siasatan kes itu yang dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Melaka sudah dikembalikan dan mendapat arahan untuk mendakwa semua suspek berusia 18 hingga 22 tahun itu.

"Semua suspek sebelum ini ditahan di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, pagi 1 Jun lalu. Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan seorang remaja berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.

Semakan mendapati 12 laporan dibuat mangsa terhadap kegiatan sindiket itu membabitkan dua kes di Kedah, Melaka, Selangor dan Terengganu dan satu kes di Perak dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 6:08 PM