Sebahagian daripada 11 suspek ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk mendapatkan perintah reman. (Mohon kaburkan wajah). FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Sebahagian daripada 11 suspek ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk mendapatkan perintah reman. (Mohon kaburkan wajah). FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebelas anggota sindiket pinjaman tidak wujud diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, di sini, semalam.

Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan remaja berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menyerbu rumah terbabit yang dijadikan pusat penipuan atas talian kira-kira 10.40 pagi.

Menurutnya, lapan lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 22 tahun ditahan, selain polis turut merampas 31 telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan kad bank dan sebuah buku nota tercatit skrip disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan.

"Soal siasat awal terhadap semua tangkapan dan pemeriksaan telefon yang dirampas mendapati kandungan talian terdapat unsur-unsur aktiviti penipuan dalam talian serta pinjaman tidak wujud.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu di tempat lain dan mula menyewa rumah terbabit dengan bayaran bulanan RM4,000 sejak sebulan lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Empat daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah mengikut seksyen sama bersabit tangkapan di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan," katanya memaklumkan menerima laporan kes di Kedah, Melaka, Selangor, Terengganu, Perak dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:17 PM