Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Satu sindiket pinjaman tidak berlesen dan pinjaman tidak wujud dikesan menyasarkan peniaga kecil sebagai mangsa sejak empat bulan lalu.

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan serbuan di sebuah premis di Taman Puchong Prima, di sini, jam 3 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menahan lapan lelaki serta sembilan wanita berusia 18 hingga 37 tahun yang berada dalam premis berkenaan.

"Kami turut merampas 35 telefon bimbit serta sembilan komputer yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pinjaman tidak berlesen dan pinjaman tidak wujud.

"Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menjadi pusat panggilan untuk kegiatan itu sejak empat bulan lalu," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, hari ini.

Abd Khalid berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah menjalankan kegiatan pinjaman tidak berlesen dan pinjaman tidak wujud dengan mengiklankan tawaran di media sosial.

"Sindiket ini menyasarkan peniaga kecil dengan memberikan pinjaman antara RM200 hingga RM1,000 kepada mereka. Ada juga antara mangsa tidak diberikan wang pinjaman berkenaan (pinjaman tidak wujud).

"Malah, peminjam juga diminta untuk membayar caj atas pelbagai alasan oleh sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama empat hari hingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Saya menyeru orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman ketika sidang media di IPD Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman ketika sidang media di IPD Subang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 12:16 PM
Sebahagian komputer yang dirampas daripada sindiket tipu pinjaman tidak wujud di Puchong Prima ketika sidang media di IPD Subang Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sebahagian komputer yang dirampas daripada sindiket tipu pinjaman tidak wujud di Puchong Prima ketika sidang media di IPD Subang Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM