KETUA UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Yang Dipertua Pas Bagan Datuk, Mohd Misbahul Munir Masduki (kanan) pada Forum Kerjasama UMNO dan PAS di Kompleks UMNO Bagan Datuk. FOTO Abdullah Yusof
KETUA UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Yang Dipertua Pas Bagan Datuk, Mohd Misbahul Munir Masduki (kanan) pada Forum Kerjasama UMNO dan PAS di Kompleks UMNO Bagan Datuk. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


KERJASAMA yang dilaksanakan UMNO dan PAS dalam pelbagai isu membabitkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu bukanlah sandiwara sebaliknya adalah kerjasama padu atas prinsip kebersamaan dan perpaduan umat Melayu Islam.

Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengakui kesilapan kerana tidak membuat keputusan muktamad dalam melaksanakan kerjasama bersama PAS untuk kepentingan Islam dan Melayu.

“Kalau ia (kerjasama UMNO-PAS) hanya sandiwara atau wayang politik itu adalah satu sejarah. Kalau kita (UMNO-PAS) mahu ambil alih (kerajaan) kita mesti ikhlas dan ambil keputusan bersama demi Islam, demi Melayu, demi negara dan jangan ada agenda tersembunyi.

“Kita mahu melihat perubahan dan semua itu mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan. Kali ini UMNO benar-benar ikhlas dan saya juga yakin PAS juga ikhlas (bekerjasama) demi menjaga kepentingan ummah, agama dan kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datuk yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki pada Wacana Pemimpin ‘Kerjasama PAS-UMNO, Sejauh Mana? di Dewan Utama, Kompleks UMNO Bagan Datuk, dekat Sungai Sumun di Bagan Datuk, malam tadi.

Pada program itu, peguam syarie yang juga anak kelahiran Bagan Datuk, Basaruddin Mohd Yusof bertindak sebagai moderator.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, agenda kerjasama UMNO-PAS itu penting kerana ia juga adalah kehendak dan kemahuan rakyat yang merasakan kedua-dua parti utama terbesar Melayu dan Islam itu mempunyai kekuatan dalam berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi sudah ada rundingan untuk kerjasama PAS dan UMNO tetapi PAS membuat keputusan ‘stand alone’.

“BN (Barisan Nasional) kalah PRU-14 sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di Parlimen atau pun DUN (Dewan Undangan Negeri) dan inilah harga yang kita bayar dengan harga yang mahal, kita akui kesilapan sebab gagal keputusan tak muktamad,” katanya.

Dalam pada itu, Misbahul Munir turut mengakui bahawa kerjasama yang dilaksanakan UMNO dan PAS ketika ini khususnya dalam isu mempertahankan Melayu, kedaulatan Raja Melayu, dan Islam sebagai satu kerjasama yang serius kerana ia mempunyai kepentingan bersama.

“Kalau (kerjasama ini) sandiwara, tidak mungkin perhimpunan bersama dalam menentang ICERD tidak dapat menandingi perhimpunan yang berlangsung di Kuala Lumpur, perhimpunan BERSIH pun tidak seramai itu.

“Kalau Islam jadi asas kukuh, Insya-Allah kerjasama itu akan kekal dan kita minta terma utama atas kerjasama yang terpatri ini mesti ada asas yang kukuh iaitu Islam yang berlandaskan al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas,” katanya.

Ditanya, sejauh mana akrabnya kerjasama membabitkan UMNO dan PAS ketika ini, Misbahul Munir menyifatkannya sebagai ibarat `dekat di mata, dekat juga di hati’.

“Macam mimpi..mimpi ke betul ni? tetapi itulah realitinya kenyataan, bila kita berkawan tidak semestinya selama-lamanya kita berkawan, begitu juga bila bermusuh, tidak semestinya selama-lamanya kita bermusuh apatah lagi kita (UMNO-PAS) dalam rumpun dan agama yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:40 AM