Che Mohd Shahril Che Mohd 30, ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi pertuduhan pemerasan dan merogol bekas teman wanitanya. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Che Mohd Shahril Che Mohd 30, ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi pertuduhan pemerasan dan merogol bekas teman wanitanya. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
BERNAMA

SEORANG kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, bagi dua pertuduhan melakukan pemerasan dan merogol jururawat yang juga bekas teman wanitanya di sebuah hotel di Seksyen 13 di sini, awal bulan ini.

Che Mohd Shahril Che Mohd, 30, dari Kuala Terengganu, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh didakwa melakukan pemerasan yang mendatangkan ketakutan kepada wanita itu dengan hendak menyebarkan gambar separuh bogelnya dan memaksa mangsa menyerahkan RM3,000, menyebabkan wanita itu menyerahkan wang RM1,000 kepada tertuduh.

Che Mohd Shahril didakwa melakukan perbuatan itu di hotel berkenaan, antara 2.10 petang hingga 3 petang, 2 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau antara dua hukuman itu.

Che Mohd Shahril yang ditangkap sehari selepas kejadian, juga menghadapi satu lagi pertuduhan merogol wanita berusia 21 tahun itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan lelaki itu mengenali mangsa dan memohon jumlah yang tinggi jika mahkamah mahu membenarkan tertuduh diikat jamin.

Hakim Ahmad Zamzani memutuskan ikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan melarang lelaki itu mengganggu, mendekati atau berhubungan dengan mangsa serta saksi-saksi sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 6:28 PM