MUHAMMAD Hanzalah (kiri) menerima sijil daripada Yahya (tengah) yang diiringi  Noor Effendi (kanan) pada Majlis Istiadat Konvokesyen MAN Ke-19 baru-baru ini. FOTO Ihsan Muhammad Hanzalah Mohammed Taib
MUHAMMAD Hanzalah (kiri) menerima sijil daripada Yahya (tengah) yang diiringi Noor Effendi (kanan) pada Majlis Istiadat Konvokesyen MAN Ke-19 baru-baru ini. FOTO Ihsan Muhammad Hanzalah Mohammed Taib
Redzuan Muharam


Muar: Sejak berusia 12 tahun, Muhammad Hanzalah Mohammed Taib hilang kasih sayang bapa yang dijemput Ilahi ketika dalam tidur.

Meskipun begitu, Muhammad Hanzalah, 20, membuktikan status sebagai anak yatim bukan halangan untuknya mengecap kejayaan dengan bergelar graduan Madrasah An-Nuur (MAN), di sini selepas tujuh tahun menuntut di pusat pengajian itu.

Bimbingan tenaga pengajar di MAN bukan hanya membina sahsiah Muhammad Hanzalah tetapi juga membantunya menjadi pemuda yang mampu menghafal 30 juzuk al-Quran sejak dua tahun lalu.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Hanzalah berkata, dia adalah anak tunggal dalam keluarga dan mendaftar masuk di MAN ketika berusia 13 tahun.

"Saya masuk ke MAN kerana keluarga yang mahu saya menuntut ilmu di situ dan mulanya memang tak suka serta takut berjauhan dengan emak.

"Bagaimanapun, ada saudara yang rapat dengan saya mendaftar masuk ke situ jadi beri keyakinan kepada saya untuk ikut sama.

"Saya ambil masa juga untuk sesuaikan diri pada tahun pertama namun lama kelamaan sudah serasi dengan adanya rakan dan tenaga pengajar yang banyak beri bimbingan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Hanzalah (berdiri lima dari kanan) bergambar kenangan dengan  graduan lain selepas Majlis Istiadat Konvokesyen MAN Ke-19. FOTO Ihsan Muhammad Hanzalah Mohammed Taib
MUHAMMAD Hanzalah (berdiri lima dari kanan) bergambar kenangan dengan graduan lain selepas Majlis Istiadat Konvokesyen MAN Ke-19. FOTO Ihsan Muhammad Hanzalah Mohammed Taib

Menurut Muhammad Hanzalah, pengalaman di MAN banyak mengajarnya erti berdikari.

"Sebenarnya, saya sudah biasa berdikari sejak tinggal di madrasah. Emak dan ayah tiri ada datang tetapi jarang, selalunya saudara-mara lain yang melawat.

"Bagaimanapun, saya akan pulang ke rumah pada hari raya dan begitulah rutin sejak tinggal di madrasah," katanya.

Kini, Muhammad Hanzalah mengambil upah dengan menjadi imam bagi solat fardu di Surau Raudhatul Jannah, Kesang Tengah, di sini.

"Kebetulan, tiada imam di sini jadi saya diberi kepercayaan galas tanggungjawab itu dengan bayaran RM500 sebulan selain mengambil upah sebagai guru mengaji.

"Jadi, buat sementara waktu, saya tinggal di sini (surau) dan siang hari akan bantu uruskan kebun ustaz.

"Itu yang saya lakukan buat masa ini dan perancangan akan datang adalah menjadi dai bagi menyebar terus ilmu agama kepada masyarakat," katanya.

Muhammad Hanzalah salah seorang daripada 77 graduan pelbagai program yang diraikan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen MAN Ke-19 baru-baru ini. Majlis itu disempurnakan oleh Sahibus Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad bertempat di dewan Kompleks AMAN Kesang Laut, di sini.

Semua graduan diarak sepanjang tujuh kilometer (km) menaiki 15 buah kenderaan mewah dan 15 buah motosikal berkuasa tinggi dari kumpulan Wings Motor Gang Society (WMGS).

Pengasas dan pengetua MAN, Noor Effendi Hamid berkata bahawa sejak penubuhan pada 2000, MAN sudah melahirkan 579 graduan huffaz yang kini sudah melanjutkan pengajian ke tahap seterusnya di dalam dan luar negara samada dalam bidang agama mahupun bidang profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:34 PM