ADAM Shauqi (kanan) menunjukkan ijazah diterimanya kepada bapanya. FOTO Amir Abd Hamid
ADAM Shauqi (kanan) menunjukkan ijazah diterimanya kepada bapanya. FOTO Amir Abd Hamid
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Apabila melihat pesawat pejuang di angkasa saya teringin nak bawa sebab saya tengok ayah sejak kecil lagi. Ayah seorang juruterbang," kata Pegawai Kadet Adam Shauqi Shamsudin.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan itu adalah antara graduan pada Istiadat Konvokesyen ke-13 bertemakan Graduan Madani Kesejahteraan Masa, Hadapan, sidang pertama, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Bapanya adalah Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Pangkalan Udara Subang, Mejar Jeneral Datuk Shamsudin Kassim.

Adam Shauqi yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, sejak kecil dia kagum melihat kerjaya bapanya dan berjuang untuk diri sendiri ke arah yang sama.

"Saya berasa amat bangga sebab dapat menyelesaikan pengajian ijazah selepas bertungkus-lumus beberapa tahun.

"Saya dapat lihat wajah kegembiraan ibu ayah serta keluarga dengan kejayaan saya walaupun tidak seberapa.

"Selepas ini saya akan meneruskan latihan ketenteraan tahun akhir bertarikh 17 Disember ini. Latihan itu akan mengambil masa enam bulan iaitu hingga Jun 2024.

"Latihan itu akan mengajar lebih mendalam lagi bidang ketenteraan. Saya akan ke sekolah latihan pegawai di Kolej Tentera Udara di Alor Setar, Kedah," katanya ketika ditemui selepas konvokesyen.

Sementara itu, bagi graduan kembar seiras, Pegawai Kadet Putera Mirzan Em Arheef Em Roodienyanto dan adiknya, Pegawai Kadet Putera Mirzan Em Aqheel menyifatkan istiadat itu sebagai kenangan manis mereka dan sekeluarga.

Pasangan kembar itu berkata, hajat mereka untuk menaiki pentas konvokesyen bersama sudah tercapai dan kini mereka berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim.

Arheef berkata, pada awalnya mereka meminati bidang berbeza iaitu dia menyambung pengajian dalam bidang teknologi maritim di UPNM dan adiknya Aqheel mahu sambung pengajian bidang kejuruteraan awam di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) tetapi tidak jadi.

"UPNM menyatukan kami. Kini kami graduan di UPNM dan berjaya menggenggam ijazah dalam bidang yang sama," katanya.

Mengulas lanjut, pasangan kembar itu berkata, selepas ini mereka akan mengikuti latihan ketenteraan selama enam bulan di Pusat Latihan Tentera di Lumut, Perak untuk ditauliahkan sebagai pegawai muda.

Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dalam ucapannya pada istiadat itu berkata, universiti itu bertekad melahirkan graduan yang holistik dalam membentuk pemimpin yang berintelek dan budiman pada masa hadapan.

Beliau berkata, pembinaan mercu tanda ketamadunan negara bangsa perlu ditunjangi budaya keilmuan dan masyarakatnya dibarisi ramai ilmuan.

Malah katanya, tekad itu sesuai dengan tema Istiadat Konvokesyen ke-13 UPNM iaitu 'Graduan Madani, Kesejahteraan Masa Hadapan'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:04 PM