ANTARA dadah, barang kemas dan kereta yang dirampas polis dalam dua serbuan di Sitiawan dan Kampar semalam. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA dadah, barang kemas dan kereta yang dirampas polis dalam dua serbuan di Sitiawan dan Kampar semalam. FOTO Ihsan Polis.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Tiga individu termasuk suami isteri ditahan dalam dua serbuan berasingan di Sitiawan dan Kampar dekat sini, semalam kerana disyaki mengedar dadah.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama pada 12.05 tengah malam menahan suami isteri berusia 28 dan 29 tahun di rumah mereka di Sitiawan.

Katanya, dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu, pasukan meramas dadah jenis heroin dianggar seberat 7.042 kilogram (kg) dan ganja berjumlah 3.058 kg.

"Nilai keseluruhan dadah adalah RM64,570 dan turut dirampas, peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah, selain menyita sebuah kenderaan, tujuh utas rantai emas, enam cincin, empat pasang anting-anting dan sebentuk subang hidung yang bernilai RM 72,332.60.

"Ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu mendapati mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, pasangan itu dipercayai aktif dengan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun dan jumlah dadah dirampas boleh digunakan 15,600 penagih.

Katanya, dalam serbuan kedua pada 12.30 tengah malam, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar memberkas lelaki berusia 36 tahun di rumah di Desa Lawan Kuda, Kampar.

"Pemeriksaan di rumah itu menjumpai dadah jenis serbuk ekstasi seberat 2.7 kg, kafen (1.679 kg), methamphetamine (22 gram (g), heroin (21 g), 15 biji pil erimin 5 (5 g) dan 11 biji pil ekstasi (6g) berjumlah RM38,792.

"Suspek turut positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan 17 kes dadah dan satu jenayah," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 12:16 PM