Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis menahan empat individu termasuk tiga wanita Vietnam dan merampas ekstasi bernilai lebih RM5.5 juta dalam serbuan ke atas dua rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Pantai Remis, Manjung, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan jam 7 pagi itu dikendalikan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke atas dua rumah yang dipercayai tempat pemprosesan dan pembungkusan ekstasi dalam bentuk pil.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 32 hingga 39 tahun.

Mohd Yusri berkata, pemeriksaan di rumah yang disewa suspek lelaki itu menjumpai 245 biji pil ekstasi seberat 100 gram (g) selain serbuk disyaki ekstasi seberat 1,227g dengan anggaran nilai RM95,043.40.

Katanya, susulan penahanan empat individu itu, serbuan kedua dijalankan jam 3.30 petang hari yang sama ke atas rumah milik suspek lelaki yang juga dipercayai digunakan sebagai tempat pemprosesan dan pembungkusan pil ekstasi di Panchor, Pantai Remis.

Menurutnya, pemeriksaan menjumpai 11,838 biji pil ekstasi seberat 5,592g; serbuk ekstasi (38,326g); cecair ekstasi (31,311g); daun-daun kering disyaki ganja (2,056g); ketulan kristal disyaki methamphetamine (844g); dan heroin (162g) dengan nilai rampasan keseluruhan dadah di rumah itu RM5,429,979.80.

MOHD Yusri menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran
MOHD Yusri menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran

"Turut dirampas dalam kedua-dua serbuan itu adalah beberapa bahan kimia serta peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses dan membungkus dadah," katanya dalam sidang media khas di perkarangan parkir IPK Perak, di sini, hari ini.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif amphethamine selain suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan jenayah lampau.

Mohd Yusri berkata, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal 2022 yang mana dadah yang diproses menampung permintaan seramai 258,214 penagih bagi edaran pasaran tempatan di Perak.

Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 8 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, tindakan pelucuthakan harta diambil dengan menyita seutas rantai dan sebentuk cincin serta tiga kenderaan yang masing-masing Toyota Vellfire, Ford Mustang GT, serta Mitsubishi Triton dengan anggaran nilai sitaan RM763,693.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 2:15 PM