Muhammad Apendy Issahak

POLIS Perak menahan lima suspek dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk dua kilogram heroin dianggar bernilai RM218,000 dalam beberapa serbuan berasingan pada 1 dan 3 Jun lalu di Ipoh dan Sitiawan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melakukan serbuan di Buntong, Ipoh, pada 1 Jun lalu dan menahan empat lelaki.

“Tangkapan pertama pada 12 tengah malam ialah lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Baru Buntong dan polis merampas 22 gram heroin serta 1.8 gram syabu.

"Susulan tangkapan lelaki itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan berhampiran pada 1,30 pagi dan menahan tiga lelaki berusia antara 54 hingga 57 tahun serta merampas dua kilogram heroin dan 568 gram syabu," katanya pada sidang media di IPK Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggar RM90,498.

Pada 3 Jun lalu, polis menahan penjaga pusat hiburan berusia 40 tahun di Taman Desa Bintang, Sitiawan, pada 11 malam.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis amphetamine seberat 827.28 gram, pil ekstasi dengan anggaran berat 27.85 gram dan ketamine seberat 8.8 gram.

"Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan nilai dadah yang dirampas dianggar RM68,053.

“Polis turut menyita kenderaan suspek jenis Toyota Estima yang dianggar berharga RM60,000," katanya.

Menurutnya, kelima-lima suspek yang ditahan kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 1:01 PM
ZAINUDDIN menunjukkan dadah yang dirampas hasil tangkapan lima suspek di Ipoh dan Sitiawan. - Foto MUHAIZAN YAHYA
ZAINUDDIN menunjukkan dadah yang dirampas hasil tangkapan lima suspek di Ipoh dan Sitiawan. - Foto MUHAIZAN YAHYA