OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mencari kanak-kanak yang hilang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, diteruskan pagi ini. FOTO Ihsan JBPM
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mencari kanak-kanak yang hilang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, diteruskan pagi ini. FOTO Ihsan JBPM
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini, menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bagi membantu mengesan kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua anjing pengesan dibawa untuk menyertai operasi mengesan mangsa berusia lapan tahun itu dengan melakukan kaedah pencarian di tebing sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini diteruskan dengan kaedah pencarian di permukaan sejauh dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Keadaan di lokasi kejadian tidak mengizinkan anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman untuk pencarian dan pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota," katanya pada kenyataan.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa yang memasuki hari kedua itu masih diteruskan membabitkan 24 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, PPDA dari Ipoh, Kuala Kangsar dan Teluk Intan.

"Operasi turut dibantu 12 anggota polis, enam Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Slim," katanya.

Semalam, bomba menerima maklumat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dengan mangsa memakai set baju renang hitam bertompok hijau ketika hilang 5.06 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 12:49 PM