ANGGOTA bomba termasuk anjing pengesan menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba termasuk anjing pengesan menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut. FOTO Ihsan JBPM
Juwan Riduan


Sepulut: Wanita ditemukan lemas manakala tiga termasuk dua beradik dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, di sini, semalam.

Mangsa, Lerina Rody berusia 26 tahun ditemui oleh penduduk kampung, pada 3.15 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 1.14 tengah hari.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dan Keningau termasuk anjing pengesan (K9) serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan digerakkan ke lokasi kejadian.

"Menurut maklumat awal daripada pemanggil, kejadian membabitkan lima sekeluarga, yang mana bapa, Joffrinos Palandok, 36 tahun dan anak lelaki, Jilan Joffrinos berusia lima tahun berjaya menyelamatkan diri.

"Ibu mangsa ditemukan lemas, manakala dua beradik lain iaitu, Carbrineleyvonne , 7 dan Joffizan, 9 tahun hilang.

"Sementara, seorang lelaki berusia 38 dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika operasi SAR kanak-kanak berkenaan, hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah pencarian di permukaan di sekitar kawasan bot karam.

"Pencarian dua lagi mangsa yang memasuki hari kedua pada 8.42 pagi hari ini, dijalankan di sepanjang sungai dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer," katanya.

Sementara itu, katanya ketika operasi pencarian dua lagi mangsa dijalankan, terdapat seorang lelaki berusia 38 tahun iaitu kumpulan orang kampung yang turut serta dalam operasi SAR terjatuh ke dalam sungai dan hilang.

"Kejadian berlaku kira-kira 4 petang ketika operasi SAR dijalankan membabitkan semua agensi dan orang kampung.

"Operasi SAR tiga mangsa diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 10:12 PM