Kelihatan perwakilan UMNO memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP. FOTO ASYRAF HAMZAH
Kelihatan perwakilan UMNO memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP. FOTO ASYRAF HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Biarpun tidak meriah seperti tahun sebelum ini dengan kehadiran ribuan orang, namun Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 berlangsung dalam suasana norma baharu dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) digariskan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kebiasaannya PAU dimeriahkan dengan gerai jualan di pekarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, namun tiada gerai jualan dan kenderaan tamu saji dibenarkan beroperasi kali ini.

Ini berikutan perhimpunan selama dua hari itu diadakan secara hibrid, yang menggabungkan kehadiran fizikal ke WTC dan secara maya di 190 bahagian di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Tinjauan mendapati, kehadiran perwakilan dihadkan mengikut kapasiti dewan, namun ahli Umno tetap kelihatan bersemangat demi perjuangan parti.

Pematuhan perwakilan yang hadir berada pada tahap tinggi dengan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penyediaan cecair pembasmi kuman di hadapan dewan serta ruang legar.

Perhimpunan dimulakan dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka, kira-kira 9 pagi tadi.

Selepas itu, ketiga-tiga sayap itu melaksanakan persidangan secara berasingan dengan Wanita Umno di Dewan Tun Dr Ismail, Pemuda Umno di Dewan Tun Hussein Onn dan Puteri Umno di Dewan Merdeka.

Perhimpunan berkenaan juga mendapat liputan daripada 42 agensi media cetak dan elektronik.

Bagaimanapun, pengamal media tidak dibenarkan membuat liputan di dalam dewan bagi mengehadkan jumlah kehadiran.

Sebaliknya, pengamal media disediakan bilik media dengan kemudahan internet, selain dikawal ketat petugas keselamatan bagi memastikan SOP dipatuhi.

PAU 2020 sudah dua kali tertangguh berikutan penularan wabak pandemik Covid-19 di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 4:37 PM