DUA geng curi motosikal tumpas menerusi beberapa serbuan di Shah Alam, Klang dan Banting pada Mei lalu. FOTO Norazmira Che Noh
DUA geng curi motosikal tumpas menerusi beberapa serbuan di Shah Alam, Klang dan Banting pada Mei lalu. FOTO Norazmira Che Noh
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Dua geng yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal sejak awal tahun ini tumpas dengan penahanan sembilan lelaki dalam beberapa serbuan di negeri ini sejak awal Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua ahli Geng Daus dan Geng Hafiz yang ditahan di daerah ini, Klang dan Banting itu berusia 24 hingga 33 tahun.

"Menerusi serbuan ini, polis merampas 13 motosikal pelbagai jenis, enjin, rangka motosikal dan pelbagai peralatan untuk mencuri motosikal.

"Siasatan mendapati geng berkenaan dipercayai melakukan kegiatan curi motosikal untuk mendapatkan alat ganti sebelum membuang rangka motosikal terbabit," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, siasatan juga mendapati suspek menyasarkan motosikal yang tidak dikunci dengan kunci kedua di sekitar kawasan parkir awam, pangsapuri dan flat yang tiada kawalan keselamatan.

Menurutnya, semakan mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah termasuk kes curi motosikal dan dadah.

Katanya, saringan ujian air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah.

"Dengan tertumpasnya dua geng ini, polis berjaya menyelesaikan 20 kes curi motosikal di sekitar Shah Alam dan daerah berdekatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 3:53 PM