Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Geng Langau Biru yang terbabit dalam kegiatan curi dan jual komponen motosikal sejak lima tahun lalu tumpas selepas polis menahan tujuh orang dalam dua serbuan di Labu Besar, Kulim pada Khamis lalu.

Kumpulan yang diketuai seorang lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan turut mencuri motosikal di kawasan kediaman polis di Ayer Itam di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil risikan dan maklumat, polis kesemua mereka yang berusia 18 hingga 34 tahun pada 12.30 tengah malam.

Menurutnya, susulan itu polis menemukan 25 rangka motosikal yang dibuang dalam Sungai Sedim, Kulim yang dipercayai dibuang mereka.

"Dengan bantuan Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengeluarkan kesemua rangka motosikal yang dilaporkan hilang sekitar Timur Laut, Barat Daya, Seberang Jaya, Kulim dan Sungai Petani, Kedah, " katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai mencuri pelbagai jenis motosikal dan menjual komponen mengikut permintaan pelanggan.

Katanya, mereka meleraikan komponen motosikal untuk dijual kepada kenalan dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

"Kesemua suspek itu berasal dari Kedah dan masuk ke Pulau Pinang bagi melakukan kegiatan mencuri motosikal yang dilakukan sejak 2016.

"Suspek utama sindiket itu mempunyai 17 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, malah polis masih mengesan ahli kumpulan mereka yang masih bebas.

Menurutnya, kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, sebanyak 381 kes curi motosikal membabitkan kerugian bernilai RM1.5 juta dilaporkan di Timur Laut sepanjang tahun lalu.

Katanya, untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 51 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM200,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (kanan) menunjukkan dua puluh lima rangka motosikal ditemui yang disyaki dicuri di sekitar kawasan Timur Laut, Barat Daya, Seberang Jaya, Kulim dan Sungai Petani, Kedah berjaya dirampas terlibat dalam kes curi motosikal ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPD) di sini.  FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (kanan) menunjukkan dua puluh lima rangka motosikal ditemui yang disyaki dicuri di sekitar kawasan Timur Laut, Barat Daya, Seberang Jaya, Kulim dan Sungai Petani, Kedah berjaya dirampas terlibat dalam kes curi motosikal ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPD) di sini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 1:53 PM