Diana Danielle, hadir di Mahkamah Syariah Shah Alam bagi urusan kes Hadanah terhadap Farid Kamil. FOTO GENES GULITAH
Diana Danielle, hadir di Mahkamah Syariah Shah Alam bagi urusan kes Hadanah terhadap Farid Kamil. FOTO GENES GULITAH
Norhayati Nordin


Shah Alam: Peguam mewakili pasangan selebriti Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, berharap kemelut rumah tangga membabitkan anak guam mereka dapat diselesaikan secara baik, Khamis ini.

Kedua-dua pihak difahamkan sudah berbincang dan bersetuju mengenai perceraian, tuntutan nusyuz termasuk hak penjagaan anak yang difailkan mereka sebelum ini.

Peguam mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihak mahkamah hari ini hanya mendengar hasil perbincangan daripada kedua pihak bagi keputusan permohonan Diana terhadap hadanah interim (hak penjagaan anak sementara).

"Selain itu, kedua-dua pihak juga sudah berbincang mengenai semua kes berkaitan antara mereka termasuk cerai. Jadi, satu perjanjian penyelesaian sudah disediakan untuk kedua-dua pihak memasukkan semua terma bagi menyelesaikan kes secara menyeluruh," katanya.

Terdahulu, Akberdin ditemui media selepas sebutan kes tuntutan hadanah interim membabitkan Diana dan Farid di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Akberdin berkata, pada Khamis ini  jugq prosiding permohonan cerai yang sudah difailkan oleh anak guamnya Diana sebelum ini akan diteruskan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari 

"Jadi, pihak mahkamah hari ini juga menangguhkan keputusan mengenai hak penjagaan penuh anak sebab mahu selesaikan secara menyeluruh dahulu kerana tidak mahu ada sebarang pertikaian lagi selepas semuanya dipersetujui oleh kedua belah pihak.

"Sepatutnya pada Khamis ini juga, pihak Mahkamah Rendah Syariah pula akan meneliti semua hasil dapatan daripada laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP). Namun, di situ kami akan maklumkan mengenai perjanjian bersama mereka dan sekiranya semua lancar maka proses cerai boleh diteruskan pada hari itu," katanya.

Sementara itu, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid berkata, keputusan permohonan hak jagaan anak sementara masih berpihak kepada Diana. Namun, sehingga kini hak lawatan Farid dengan anak berjalan lancar.

"Tapi, dalam tempoh seminggu dua ini kami pihak peguam ada buat perbincangan untuk cari jalan penyelesaian secara menyeluruh membabitkan pihak berkaitan dengan perceraian dan juga hak penjagaan anak.

"Alhamdulillah, kita hampir sampai ke penghujung. Buat masa ini, sudah ada draf perjanjian dibuat. Cuma, ada beberapa perkara yang perbetulkan sedikit lagi,  Jika semuanya lancar, kita akan rekod penyelesaian dibuat di mahkamah pada 21 Ogos ini," katanya.

Fakhrul Azman berkata, Farid bagaimanapun tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini atas masalah kesihatan.

Terdahulu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.

Mengikut laporan media sebelum ini memaklumkan alasan diberi Diana untuk bercerai adalah mereka tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:14 PM