Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Ketika penuntut lain tidak sabar untuk kembali ke universiti bagi menjalani kehidupan sebagai mahasiswa, Siti Nor Aini Mohamed, 22, masih dalam dilema untuk meninggalkan bapanya yang sakit dan uzur bersendirian di kampung.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, anak tunggal yang kehilangan ibu pada 2017 dan hanya memiliki kasih sayang bapa, Mohamed Abdullah, 70, yang diuji penyakit saraf dan kanser prostat.

Siti Nor Aini perlu membahagikan masa untuk belajar, bekerja dan dalam masa sama menjaga bapa yang perlu dibantu sepenuhnya setiap hari.

"Selama ini saya boleh membahagikan masa susulan dapat belajar dari rumah sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan tetapi pada 8 Oktober nanti, saya perlu kembali ke universiti untuk meneruskan pembelajaran seperti sedia kala.

SITI Nor Aini menjaga Mohamed di kediamannya. FOTO Syaherah Mustafa
SITI Nor Aini menjaga Mohamed di kediamannya. FOTO Syaherah Mustafa

"Saya tidak sampai hati untuk tinggalkan ayah sendirian kerana ada masanya dia akan menjadi sangat lemah serta tidak berdaya. Memang ada perancangan untuk meminta tolong saudara atau jiran menjenguk ayah pada sebelah siang, namun dia akan kembali bersendirian pada waktu malam.

"Dalam hidup ini saya hanya ada ayah, tak dapat saya bayangkan macam mana saya boleh belajar dengan tenang di sana sedangkan dia sakit dan bersendirian di kampung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tuku, di sini, semalam.

Siti Nor Aini yang tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib bapanya, mengakui mengambil keputusan untuk berhenti belajar namun ditentang sekerasnya oleh bapa yang mahu lihat dia berjaya dan keluar dari kepompong kemiskinan itu.

Menurutnya, bagi meneruskan kehidupan seharian dia terpaksa bekerja di gerai menjual makanan dan minuman dengan gaji RM20 sehari untuk mencari sesuap nasi selain membeli keperluan lampin pakai buang bapanya.

"Rutin saya setiap hari dimulakan dengan memandikan abah sebelum keluar bekerja pada 10 pagi dan balik sekejap untuk memasak makanan dan menjenguknya pada waktu tengah hari. Usai solat Zohor, saya kembali ke gerai dan pulang pada 6 petang.

"Ketika bekerja saya membawa bersama komputer riba agar tidak terlepas kelas dalam talian serta mencuri masa mengulang kaji pelajaran semasa gerai tiada pelanggan.

"Sejujurnya saya dalam dilema sama ada mahu meneruskan perjuangan demi segulung ijazah bagi mencapai cita-cita atau korbankan sahaja pelajaran demi bapa yang kini perlukan perhatian saya," katanya yang turut dikunjungi wakil badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan.

Sebaik ditanya berkenaan persiapan untuk kembali ke universiti, Siti Nor Aini berkata, dia hanya membawa sahaja pakaian ataupun barangan sedia ada selain berharap sepenuhnya pada wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Lebih membimbangkan apabila saya tidak berjaya mendapat kolej dan terpaksa menyewa rumah dengan bayaran RM125 sebulan. Saya berharap agar dapat berjimat supaya bayaran dapat dilunaskan setiap bulan.

"Alhamdulillah, nasib saya mendapat perhatian YRS yang banyak memberikan sumbangan selain membantu saya membuat membuat permohonan bantuan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kini masih dalam proses," katanya yang mengakui hanya makan nasi berlaukan telur bersama bapa kerana tidak mampu membeli lauk lain yang agak mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 11:21 AM