Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Seorang pelajar berazam mahu membina kehidupan lebih baik buat keluarga apabila melihat pengorbanan bapanya berulang-alik dengan menunggang motosikal sejauh 30 kilometer untuk menghantarnya ke sekolah setiap hari.

Muhammad Kamarul Iqbal Kamaruzaman, 18, berkata perjalanan yang dilalui mereka bukan menggunakan jalan tar, sebaliknya laluan hutan dan menyusuri kebun getah serta kelapa sawit susulan rumah mereka yang agak terpencil.

Menurutnya, dia mengakui kasihan melihat bapanya, Kamaruzaman Yusoff, 54, yang sanggup berulang-alik menghantar dan mengambilnya sepanjang sesi persekolahan biasa termasuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini.

"Bukan saya tidak mahu tinggal di asrama, tetapi ibu dan ayah tidah mampu untuk membeli keperluan serta kelengkapan lain. Saya beralah untuk memberi ruang kepada adik, Muhammad Kamarul Iqram, 17, sahaja untuk tinggal di asrama.

"Manakala, saya dan dua lagi adik akan dihantar ayah termasuk menggunakan kereta usang. Tetapi, jika hari hujan, ada kalanya kami terpaksa ponteng sekolah kerana jalan untuk keluar dari kawasan rumah agak membahayakan.

"Alhamdulillah, sepanjang peperiksaan SPM keadaan baik-baik sahaja dan saya dapat menduduki peperiksaan dengan kertas terakhir iaitu Geografi, esok," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Ikan, Batu Karang, di sini, semalam.

Terdahulu, Iqbal serta keluarganya menerima lawatan kedua daripada Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husin bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang bagi menyampaikan bantuan peti sejuk, makanan serta kewangan.

Nasib keluarga ini mendapat perhatian YRS susulan kedaifan mereka selain kediaman agak terpencil, malah jalan masuk ke rumah mereka hanya boleh dilalui oleh pacuan empat roda.

Iqbal berkata, dia dan adik-adiknya sudah biasa hidup sedemikian kerana jarang pergi ke bandar kecuali ketika mengikut bapanya atas urusan kerja.

"Saya tidak sesekali menyalahkan takdir, sebaliknya lebih bersemangat untuk berusaha supaya dapat membantu ibu bapa dan adik-adik mendapat kehidupan yang lebih baik.

Kamarul mengulangkaji pelajaran untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sambil ditemani bapanya dan ibunya. FOTO Syaherah Mustafa
Kamarul mengulangkaji pelajaran untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sambil ditemani bapanya dan ibunya. FOTO Syaherah Mustafa

"Selain itu, saya tidak mahu lagi melihat ayah bersusah-payah memberi kami sekeluarga makan dan minum, pernah suatu ketika dia terpaksa menggali ubi untuk memberi kami makan kerana kehabisan beras di rumah selain pendapatannya sebagai penoreh getah yang tidak menentu.

"Segala pengalaman ini memberi dorongan buat saya untuk lebih berusaha dan berharap semoga keputusan SPM sekurang-kurangnya dapat melayakkan saya memasuki mana-mana institusi kemahiran kelak," katanya.

Katanya, kehidupan daif bukan alasan untuk dia terus lemah, sebaliknya pembakar semangat untuk maju ke depan demi kehidupan lebih selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 1:39 PM