MINUMAN keras dan rokok yang dirampas PPM Wilayah 5 di Bintangor, Jumaat lalu. FOTO ihsan PPM
MINUMAN keras dan rokok yang dirampas PPM Wilayah 5 di Bintangor, Jumaat lalu. FOTO ihsan PPM
Mohd Roji Kawi


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras, rokok dan diesel dalam dua serbuan berasingan Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Bintangor, Sarikei, Unit Risikan PPM Sarikei merampas 41 kotak minuman keras dalam tin dan botol serta 200 karton rokok seludup.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, rampasan itu dibuat dalam rondaan Op Landai Covid PPM Sarikei pada jam 11.30 pagi, Jumaat lalu.

"Serbuan menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang tiada tanda berbayar cukai kastam.

"Pemilik barangan itu iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dan dia kemudiannya ditahan manakala semua minuman leras dan rokok dirampas sebelum dibawa ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsol berkata, semua rampasan itu bernilai RM79,728 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes kedua kira-kira jam 12 tengah hari Sabtu lalu, Unit Risikan PPM Bintulu pula menahan sebuah pikap Toyota Hilux membawa muatan empat tong dram diesel di Kilometer 10, Jalan Tun Hussien Onn, Bintulu.

Beliau berkata, ketika diperiksa, lelaki berusia 40 tahun yang memandu pikap berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk memiliki dan menyimpan barang kawalan.

"Lelaki itu ditahan dan kenderaan serta diesel muatannya yang dianggarkan bernilai RM91,160 dirampas.

"Tangkapan serta rampasan kemudian diserahkan kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bintulu untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 11:33 AM