RAKAMAN video tular di media sosial. FOTO Ihsan Polis
RAKAMAN video tular di media sosial. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis meminta saksi kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV dan sebuah motosikal di Jalan 21/37 Petaling Jaya di sini, yang tular di media sosial supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis terkesan rakaman video kejadian itu pada jam 5 petang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan semakan mendapati kemalangan itu berlaku 7.10 pagi pada 3 Mei lalu.

"Laporan polis sudah dibuat oleh kedua-dua pihak dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59.

"Saman juga dikeluarkan kepada pemandu SUV terbabit atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis tidak akan berkompromi dengan pemandu yang memandu secara merbahaya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu melanggar undang-undang jalan raya.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak kemalangan.

Berdasarkan rakaman video berdurasi dua minit sembilan saat menunjukkan Honda HRV bergesel dengan sebuah motosikal Yamaha yang datang dari arah bertentangan.

Pemandu kenderaan itu bagaimanapun tidak berhenti dan meneruskan perjalanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 3:56 PM