TANGKAP layar rakaman tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis menahan pemandu lori yang didakwa melakukan buli jalanan di Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam, berhampiran susur Subang Jaya, di sini, semalam.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan video kejadian yang tular di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video berkenaan menunjukkan lori dipandu secara melulu dengan mengubah laluan dan berhenti secara mengejut.

"Kejadian berlaku kira-kira 5 petang pada Khamis lalu membabitkan sebuah lori dan kereta Perodua Myvi.

"Hasil siasatan polis mengesan kedua-dua pemandu kenderaan terbabit. Polis berjaya menahan pemandu lori di Meru, Klang semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah methamphetamine.

Katanya, suspek direman lima hari bermula semalam sehingga 30 Mei ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis tidak akan berkompromi kepada individu yang memandu secara merbahaya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna yang melanggar undang-undang.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian dan kemalangan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi dua minit 59 saat menunjukkan sebuah lori dipandu secara melulu dan cuba menghalang sebuah kereta memotongnya dengan turut mengubah haluan.

Pemandu lori terbabit turut dilihat memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba semasa di lorong kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 2:18 PM