Asrol Awang


Kuantan: Pelajar lelaki berusia 19 tahun kerugian RM57,488 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa menyertai satu iklan di Instagram pada 19 Disember lalu.

Katanya, mangsa dikehendaki melaburkan modal terlebih dulu dan dijanjikan pulangan wang hasil daripada pelaburan terbabit.

"Mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam melaksanakan tugasan yang diberikan oleh suspek sehingga membuat lima pindahan wang ke akaun bank berlainan.

"Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan sendiri.

"Selain itu mangsa turut meminjam daripada rakan dan menggunakan wang persaraan ayahnya yang juga pesara guru sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, Ramli menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial tanpa usul periksa yang jelas.

"Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 12:27 PM