M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri mendakwa berlaku kecuaian dilakukan Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) apabila gagal menutup salah satu pintu baraj Sungai Muda yang rosak sehingga menyebabkan paras sungai itu turun mendadak, Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan berkaitan penyusutan paras Sungai Muda pada 10 malam Ahad lalu, dan jam 12 tengah malam Isnin lalu.

Jelasnya, apa yang dikesalkan tindakan menutup pintu baraj yang rosak secara manual hanya dibuat petugas PLSM pada Isnin, jam 7 pagi iaitu selepas ia terbuka selama 11 jam.

"Kejadian baraj di lembangan Sungai Muda terbuka disebabkan kerosakan pada alat automasi sensor salah satu pintu, ada 14 pintu semuanya.

"Sebanyak tujuh pintu rosak sepenuhnya dan hanya tujuh pintu boleh dibuka atau ditutup. Apa yang berlaku adalah pintu ke-14 terbuka sendiri sebanyak 50 peratus," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, makluman mengenai penyusutan paras sungai dibuat SADA sebanyak dua kali iaitu pada 10 malam dan 12 tengah malam sebelum kejadian.

"Makna ada kecuaian di pihak PSLM dan tindakan harus dibuat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kerana PSLM dan Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) adalah agensi Persekutuan," katanya,

Muhammad Sanusi turut mendesak, NRECC menubuhkan segera jawatankuasa siasatan bagi mengenalpasti pihak yang cuai dalam kejadian berkenaan dan tindakan perlu diambil kepada kakitangan terbabit.

Katanya, kerajaan negeri tidak dapat melakukan siasatan dalam kes berkenaan kerana infrastruktur itu bukan berada di bawah SADA atau Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

"Saya kesal ada pihak membawa naratif mengatakan kerajaan negeri gagal mengawal selia baraj berkenaan sedangkan struktur itu sepenuhnya dikawal PLSM yang diletak di bawah JPS dan NRECC.

"Ada pihak tuding kata ini kesalahan kerajaan negeri, tudingan itu salah, mereka patut tuding kepada NRECC dan ke Putrajaya kerana ini tanggung jawab mereka.

"Saya sudah bermesyuarat bersama LSANK, disebabkan kecuaian ini di pihak PLSM maka kita harap NRECC ambil tindakan ke atas pihak yang bertugas pada waktu kejadian," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut merujuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengenai prosedur pemantauan baraj yang dibuat agensi itu di kawasan Sungai Kedah di Ampang Jajar.

"Saya tanya MADA kerana mereka kawal baraj di Ampang Jajar, prosedurnya ada petugas mereka turun periksa paras sungai setiap jam dan tulis di buku log, bagaimana keadaan pintu semua.

"Pulau Pinang juga macam salahkan kita dan kata kejadian di sebelah Kedah. Sebenarnya ada dua bahagian baraj iaitu di Kedah dan Pulau Pinang.

"Semua pintu baraj Pulau Pinang sudah rosak kerana strukturnya berusia lebih 50 tahun, yang boleh berfungsi hanya sebelah Kedah, jadi mereka tak boleh kata kita sahaja," katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, berlaku gangguan bekalan air terawat membabitkan kira-kira 251,800 akaun SADA di daerah Kuala Muda, Kulim dan Sik serta sebahagian Pulau Pinang.

Kejadian itu berlaku akibat tiga Loji Rawatan Air (LRA) gagal mengepam air akibat penurunan paras Sungai Muda secara mendadak selepas air sungai itu terlepas ke dalam laut akibat kerosakan baraj.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 5:22 PM