ZAHURA  (kiri) melihat pelajar tingkatan lima  mendaftar Program Tuisyen Atas Talian  di Perpustakaan Raja Tun Uda.
ZAHURA (kiri) melihat pelajar tingkatan lima mendaftar Program Tuisyen Atas Talian di Perpustakaan Raja Tun Uda.

Shah Alam: Selain mengulang kaji secara percuma, lima pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang mendaftar dan menggunakan aplikasi Tuisyen Dalam Talian (Tution Online) akan menerima wang tunai RM5,000 setiap seorang membabitkan jumlah RM25,000.

Program julung kali diadakan itu ditawarkan Yayasan Selangor khusus kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Zahura Zakry berkata, kemudahan itu bakal dinikmati 18,000 pelajar tingkatan lima yang layak di negeri itu.

“Program ini menawarkan lima mata pelajaran terdiri daripada tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, manakala kombinasi dua mata pelajaran lain antaranya Matematik Tambahan dan Fizik bagi aliran Sains manakala Sains dan Matematik bagi aliran Sastera.

“Menerusi program ini, lebih ramai pelajar berpeluang menguasai ilmu berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta aplikasi digital ke arah penyediaan generasi muda menerokai bidang kerjaya yang lebih mencabar,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Smart Selangor ‘Free Tuition Online’ di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad.

Zahura berkata, tuisyen secara percuma itu memudahkan pelajar mengulang kaji pelajaran mengikut topik dikehendaki melalui video rakaman pembelajaran menarik daripada tenaga pengajar dengan penyampaian yang mudah difahami serta mempunyai ilustrasi dan demonstrasi.

Katanya, aplikasi itu juga menyediakan soalan latihan mengikut topik yang akan menambahkan lagi kefahaman pelajar.

Sementara itu, pelajar Sekolah Maahad Integrasi Tahfiz Sains Teknologi Klang, Jalilatun Najwa Mohd Rozli berkata, kemudahan tuisyen dalam talian itu menjadikan proses pembelajaran semakin mudah dan menarik.

“Kaedah ini dapat menarik minat untuk belajar kerana ia lain daripada yang lain malah ia juga boleh dijadikan aktiviti mengisi masa lapang dengan membuat lebih banyak latihan,” katanya yang juga calon SPM tahun ini.

Dalam pada itu pendaftaran program berkenaan boleh dibuat di www.smartselangorfreetuition.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:59 AM