Rafiqah Dahali


Penampang: Catuan bekalan elektrik membabitkan beberapa daerah di negeri ini akan dilaksanakan sehingga bulan Julai pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata langkah terbabit terpaksa diambil pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi mengawal permintaan penggunaan elektrik melebihi had dan sistem Grid Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya difahamkan keadaan cuaca panas melanda negara baru-baru ini menyebabkan majoriti pengguna menggunakan penghawa dingin di rumah masing-masing dan seterusnya menyebabkan penggunaan bekalan elektrik meningkat.

"Ini menyebabkan pihak SESB perlu melakukan catuan bekalan (load-sheeding) untuk mengawal kestabilan grid di Sabah.

"Dalam masa yang sama SESB sedang melaksanakan tindakan jangka pendek dengan menambah kapasiti bekalan elektrik melalui penambahan jana kuasa mudah alih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (Load Despatch Centre) selepas sesi taklimat bersama SESB, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shahelmey turut mengakui terdapat sedikit kelewatan dari sudut pelaksanaan perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi perkara terbabit.

"Jadi saya merayu kepada pihak terbabit dalam pelaksanaan projek bekalan jana kuasa untuk elektrik di Sabah agar memberi perhatian serius dan cepat agar ia boleh dilaksanakan.

"Ini penting kerana ia bukan sahaja mempengaruhi pengguna tetapi juga mempengaruhi penumbuhan ekonomi di Sabah.

"Sekiranya bekalan atau janaan elektrik ini tidak dapat ditambah dalam tempoh terdekat maka ia membantutkan usaha kita untuk menarik pelabur membangunkan industri yang ada di negeri ini.

"Untuk makluman, catuan ini akan dilakukan sehingga bulan Julai tahun ini. Jadi kita berpesan kepada pengguna untuk bersabar," katanya.

Disamping itu, beliau juga turut menjelaskan catuan terbabit dilakukan untuk memastikan semua kawalan bekalan kuasa grid SESB terkawal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan semua pengguna menerima bekalan elektrik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Yaakob Jaafar dalam satu sidang media berasingan berkata 11 unit jana kuasa mudah alih sudah ditempatkan di seluruh Sabah bagi meningkatkan margin simpanan tenaga elektrik di sistem Grid Sabah.

Selain itu, sebanyak 17 unit jana kuasa mudah alih akan dipasang pada bulan Jun nanti.

Disamping itu, beliau juga menafikan dakwaan terdapat unsur sabotaj yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Bagi kejadian gangguan bekalan elektrik pada hari Selasa dan Rabu lalu, Mohd Yaakob menjelaskan ia berpunca dari kerosakan tidak terancang terhadap peralatan di Karambunai serta Putatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 7:52 AM