Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sembilan lelaki termasuk ahli perniagaan dan teman wanitanya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang pengurus syarikat di tempat letak kereta di Jalan Kenanga, Taman Kenanga, Tengkera, di sini, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu semua suspek dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh jam 9 pagi dengan diiringi anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

SEBAHAGIAN suspek yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengurus syarikat. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SEBAHAGIAN suspek yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengurus syarikat. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Sharda Shienha membenarkan reman terhadap semua suspek berusia 20 hingga 38 tahun bermula hari ini hingga 16 Mei depan.

Harian Metro hari ini melaporkan akibat mengeluarkan perkataan tidak senonoh, seorang pengurus syarikat maut dalam pergaduhan kawasan letak kenderaan di Jalan Kenanga, di sini, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku antara 4 hingga 4.15 pagi dan mangsa berusia 35 tahun itu disahkan meninggal selepas menerima rawatan di Hospital Melaka, kira-kira 5.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 12:11 PM