JABATAN Perhilitan Johor menyelamatkan seekor beruang matahari yang dijumpai di ladang kelapa sawit FELDA Bukit Easter, Kota Tinggi. FOTO Ihsan PERHILITAN
JABATAN Perhilitan Johor menyelamatkan seekor beruang matahari yang dijumpai di ladang kelapa sawit FELDA Bukit Easter, Kota Tinggi. FOTO Ihsan PERHILITAN
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEEKOR beruang matahari ditemui di kawasan ladang dekat Felda Bukit Easter di Kota Tinggi, semalam dalam keadaan lemah dan tercungap-cungap.

Beruang matahari jantan itu ditemui orang awam di bawah pokok kelapa sawit dalam ladang berkenaan sebelum diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor.

Pengarah PERHILITAN negeri, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan beruang dalam kawasan ladang di Felda itu kira-kira 12 tengah hari.

“Selepas menerima panggilan, pasukan kami ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan kita mendapati haiwan terbabit adalah beruang matahari yang ditemui di bawah pokok kelapa sawit dalam ladang berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beruang berkenaan mempunyai kecederaan luka di belakang badannya dan ketika bernafas, ia tercungap-cungap serta lemah dipercayai disebabkan kehilangan banyak darah akibat kecederaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, kesan kecederaan itu masih dalam siasatan, namun hasil pemeriksaan awal pihaknya percaya ia disebabkan pergaduhan dengan beruang lain atau sebab-sebab tertentu.

Katanya, menurut saksi yang menyedari kehadiran beruang matahari itu, haiwan terbabit dilihat berlari merentasi sungai cetek dan kemudian naik ke tebing sebelum rebah di kawasan pokok kelapa sawit.

“Beruang itu berjaya dibawa masuk ke dalam perangkap pindah yang kemudiannya dibawa ke Pejabat PERHILITAN Bandar Penawar untuk diberikan rawatan awal.

“Kita akan menghantar beruang itu ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak untuk rawatan lanjut apabila keadaannya stabil,” katanya.

Menurut Salman, spesies beruang matahari adalah hidupan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang awam yang segera memaklumkan perkara terbabit.

“Kita mahu sarankan sesiapa yang menemui hidupan liar seumpama ini supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mohon untuk segera memaklumkan kepada pihak PERHILITAN untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 2:34 PM