MOHAMAD Nori menunjukkan bumbung rumah diterbangkan angin ribut, petang semalam. FOTO Ali Iqbal
MOHAMAD Nori menunjukkan bumbung rumah diterbangkan angin ribut, petang semalam. FOTO Ali Iqbal
Ali Iqbal


Batu Pahat: "Kami sepatutnya mengadakan rumah terbuka Aidilfitri hujung minggu ini. Tapi hasrat itu mungkin tertangguh kerana semua barang persiapan sudah rosak," kata Idayu Mohamad Adnan, 53, selepas bumbung rumahnya di Parit Imam, di sini, tercabut akibat dibadai ribut, petang semalam.

Menurut Idayu, sebelum kejadian iaitu jam 5.45 petang, dia bersama suami, Mohamad Nori Sulaiman, 63, sedang menyiapkan kuih untuk jualan pagi dan dikejutkan petir sangat kuat.

Katanya, beberapa minit selepas itu, angin kuat tiba-tiba membadai bumbung rumahnya hingga tercabut.

"Saya meminta suami keluar untuk selamatkan diri. Saya bimbang bumbung jatuh menghempap kami.

"Paling menyedihkan apabila barang dalam rumah rosak teruk termasuk persiapan rumah terbuka untuk keluarga hujung minggu ini.

"Hampir sebulan saya membuat persiapan namun ianya musnah tidak sampai 30 minit," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Seorang lagi mangsa, Ithnin Attan, 64, berkata, dia, isteri dan lima anak jiran yang dijaganya segera menyelamatkan diri.

"Saya terdengar bunyi bising dari tingkat atas ingatkan anak jiran bermain mercun. Tapi 10 minit bunyi berkenaan tidak berhenti menyebabkan saya naik untuk memeriksa," katanya.

Dalam kejadian itu, sebanyak 45 rumah di Taman Panchor dan Kampung Parit Imam, di sini, terjejas akibat ribut melanda kawasan itu petang semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebuah rumah mengalami kerosakan hampir 100 peratus di bahagian bumbung dan tidak boleh didiami.

"Kami akan bincang dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk mendapatkan penempatan sementara seperti rumah sewa atau bantuan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 4:22 PM