Antara rumah yang mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian ribut di Kampung Skudai Kiri, Skudai di sini pada 3.50 petang hari ini. FOTO IHSAN PENDUDUK
Antara rumah yang mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian ribut di Kampung Skudai Kiri, Skudai di sini pada 3.50 petang hari ini. FOTO IHSAN PENDUDUK
Mary Victoria Dass

[email protected].

Johor Bahru: Ribut yang melanda Kampung Skudai Kiri di sini, hari ini menyebabkan 27 rumah mengalami kerosakan.

Kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah penduduk terbabit tercabut dan diterbangkan angin kuat.

Seorang penduduk, Idrus Rahmat, 51, berkata kejadian petang tadi adalah kali kedua melanda kawasan itu dan kesannya lebih buruk berbanding pada Januari lalu.

Bekas pengamal media itu berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tetamu bersama rakan.

Menurutnya, tiba-tiba terdengar bunyi angin yang kuat sebelum sebahagian bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin kuat.

Katanya, kejadian berkenaan juga mengakibatkan bumbung beberapa kediaman jirannya juga mengalami kerosakan sama.

"Dalam keadaan kelam kabut itu saya terdengar jiran melaungkan azan sebelum angin kuat tiba-tiba reda.

"Kejadian hari ini lebih buruk kerana sebelum ini ia hanya membabitkan dua rumah iaitu rumah keluarga saya dan rumah jiran.

"Pada kejadian lalu iaitu awal Januari lalu, saya kerugian kira-kira RM3,000, tidak disangka kejadian berulang dan mengakibatkan kami menanggung kerugian lahi," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Skudai Kiri, Zahari Hassan berkata, sebanyak 27 rumah terletak di sekitar Jalan Kupang di kawasan perkampungan itu mengalami kerosakan akibat ribut disusuli hujan lebat itu.

"Penduduk juga dinasihatkan membuat laporan polis dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi.

#kw ribut, rumah, rosak, Skudai Kiri, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 6:11 PM