PERTUKARAN dokumen kolaborasi strategik di antara UPNM  dan JAKOA.
PERTUKARAN dokumen kolaborasi strategik di antara UPNM dan JAKOA.
ISMAIL Sabri (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek oleh Sapiah (dua kiri) kepada Hasagaya di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok.
ISMAIL Sabri (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek oleh Sapiah (dua kiri) kepada Hasagaya di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok.
Roselan Ab Malek


Bera: Jalinan kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberi ruang dan peluang kepada anak Orang Asli yang berkelayakan melanjutkan pengajian ke menara gading.

Kerjasama strategik JAKOA dan UPNM kini mampu melahirkan lebih ramai golongan masyarakat Orang Asli yang profesional dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.

Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor berkata, sejajar dengan luar bandar sejahtera, pada tahun ini JAKOA agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membiayai sebanyak RM4.2 juta bagi 983 pelajar dalam pelbagai bidang dan peringkat pendidikan termasuk 303 pelajar baru.

Inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan Program Perkhidmatan Pengajian Universiti Malaysia Untuk Masyarakat (SULAM) membuka ruang kepada lebih ramai anak Orang Asli melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, JAKOA sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan arus perdana, sosio ekonomi dan kebajikan masyarakat Orang Asli selari dengan Pelan Strategik JAKOA dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Usaha membela dan memperkasakan masyarakat Orang Asli akan diteruskan dan kita yakin satu hari nanti, kita dapat melihat lebih ramai anak Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah berkata, UPNM sentiasa mempromosi program pengajian di bawah UPNM kepada pelajar Orang Asli di bawah JAKOA untuk menarik minat lebih ramai generasi muda Orang Asli melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, pada masa ini empat pelajar Orang Asli sedang mengikuti pengajian di UPNM akan menerima Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP) JAKOA sepanjang tempoh pengajian berjumlah RM90,840.

Pada masa sama, UPNM melaksanakan program khidmat komuniti kesihatan melalui program SULAM.

Seramai 50 pelajar perubatan tahun tiga bersama 15 pensyarah dari Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan melaksanakan program bersama penduduk Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam yang bertemakan Kesihatan Wanita dan Kanak kanak.

Program itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di sini.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pemeriksaan kesihatan umum, ceramah dan pameran selaras usaha meningkatkan kesihatan wanita Orang Asli.

Pada majlis sama, JAKOA melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP) menyerahkan replika cek berjumlah RM90,840 kepada UPNM bagi menampung empat mahasiswa Orang Asli yang kini menyambung pelajaran di universiti berkenaan.

Ismail Sabri ketika merasmikan program berkenaan di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di sini berkata, kolaborasi program khidmat komuniti antara UPNM dan JAKOA dapat memanfaatkan masyarakat Orang Asli.

"Antaranya, menerusi inisiatif Program Laluan Khas Kemasukan pelajar Orang Asli ke UPNM yang sedang diperhalusi dan bakal dilaksanakan seawal tahun hadapan. Kita yakin, satu hari nanti kita akan dapat menyaksikan lebih ramai lagi anak Orang Asli yang berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional yang lahir daripada UPNM.

"Saya percaya UPNM mampu membentuk serta melahirkan insan hebat dari kalangan masyarakat Orang Asli di masa akan datang," katanya.

Katanya, usaha pemerkasaan dan pembelaan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama bagi memastikan impian menyaksikan lebih ramai generasi muda Orang Asli dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemui pula berkata, beliau berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi awam menawarkan tempat kepada anak Orang Asli bagi melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:51 AM