Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kira-kira 1,500 orang daripada 87 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun dan berarak hampir dua kilometer bagi mengemuka sembilan tuntutan bersempena Hari Pekerja.

Bertemakan Gaji Bermaruah dan Jaminan Makanan, perarakan yang bermula jam 10 pagi itu bermula di pekarangan Maju Junction dan berakhir di Medan Pasar di sini pada jam 1 tengah hari.

NGO itu antaranya Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Petani dan Penternak Perak (Gapeta) dan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), selain Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Penyelaras himpunan, E Parameiswary berkata, antara yang dituntut adalah pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan mahu kerajaan memastikan semua pihak mematuhinya.

Katanya, gesaan itu kerana didapati masih banyak syarikat yang belum melaksanakan gaji minimum.

"Ada lebih 200 syarikat kita sudah adukan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang tidak melaksanakan gaji minimum. Kita mahu gaji minimum itu dilaksanakan kepada semua pekerja," katanya.

Sebelum ini, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi kategori majikan yang menggaji pekerja kurang daripada lima orang, sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu namun ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 sudah berkuat kuasa mulai 1 Mei lalu dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Selain itu, Parameiswary berkata, tuntutan hak pekerja yang lain yang dikemukakan mereka adalah menggesa kerajaan menghapuskan sistem kontrak yang diamalkan kini.

"Hapuskan sistem kontrak terutamanya di jabatan kerajaan agar kakitangan itu diserap kepada jawatan tetap.

"Selain itu, skop liputan Skim Insuran Pekerja (SIP) perlu diperluaskan dan tidak boleh ada syarat. Kita mahu syarat-syarat itu dimansuhkan.

"Kita juga mahu kerajaan melaksanakan satu skim pencen untuk warga emas memandangkan Malaysia akan menuju ke negara tua," katanya.

Perkara lain dikemuka termasuk memperkasa perkhidmatan hospital agar lebih baik dan secara percuma, kawalan harga barangan dan perkhidmatan serta mengiktiraf hak tanah adat bagi masyarakat Orang Asli dan mengukuhkan status tanah rizab bagi masyarakat itu.

Selain itu, himpunan aman turut menuntut agar kerajaan menghentikan tangkapan dan pengusiran paksa bagi pelarian serta melaksanakan polisi perumahan mampu milik dengan harga yang adil kepada pekerja.

Perkara lain yang dituntut adalah menggesa kerajaan memansuhkan akta yang menyekat kebebasan media, hak bersuara rakyat serta menghentikan aktiviti mengongkong kebebasan akademik dan diskriminasi gender.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 3:01 PM