GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) diberi kelonggaran untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum pekerja RM1,500 sehingga 31 Disember.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kelonggaran itu bagi membolehkan persediaan dibuat selepas perniagaan masing-masing terkesan dengan Covid-19.

"Kerajaan beri ruang selepas kita terima banyak permintaan daripada PMKS untuk tangguhkan pelaksanaan gaji minimum dan kelonggaran diberi diberi sehingga 31 Disember depan.

"Kita ada baki kira-kira tujuh bulan lagi untuk majikan, dan tempoh ini boleh digunakan mereka untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 seperti yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini hari ini.

Pada 27 April lalu, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei lalu ke atas majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.

Manakala, bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, kuat kuasa gaji minimum RM1,500 adalah bermula 1 Januari 2023.

Terdahulu, Awang turut menyampaikan bayaran faedah Perkeso Kedah berjumlah keseluruhan RM26,100 kepada 13 orang berinsurans, manakala keseluruhan Perkeso Kedah membuat bayaran faedah berjumlah RM29 juta tahun lalu, berbanding lebih RM41 juta pada 2020.

"Selain itu, Perkeso turut membuat bayaran untuk kes Covid-19 kepada orang berinsurans yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja sejak Januari hingga April 2022 yang berjumlah lebih RM7 juta dengan 4,633 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:20 PM