FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerima aduan mengenai majikan yang memotong elaun tetap pekerja untuk dimasukkan ke dalam gaji pokok setiap bulan.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, aduan itu diterima daripada pekerja yang mendakwa ia sebagai langkah majikannya untuk memenuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei lalu.

"Ini jelas berlaku pelanggaran hak pekerja dan memerlukan tindakan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"MTUC sudah memaklumkan kepada pekerja yang membuat aduan untuk memuat naik aplikasi digital yang diperkenalkan KSM iaitu Working for Workers (WFW)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, MTUC bersetuju dan menyokong usaha kerajaan yang giat berusaha dalam membangunkan kumpulan bakat berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi bagi pekerja di Malaysia.

Katanya, MTUC juga senada dengan kekecewaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila gaji yang ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja anak tempatan.

"MTUC berharap usaha dan sokongan terus daripada KSM dan kerajaan dalam memartabatkan pekerja di Malaysia akan berterusan.

"Kami yakin dan optimis melalui perbincangan yang harmoni secara konsisten dalam platform tripartite Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru untuk mencapai kata sepakat demi kesejahteraan pekerja," katanya.

Semalam, Ismail Sabri meluahkan kekecewaan apabila ada majikan yang masih menawarkan gaji di bawah paras gaji minimum.

Beliau turut mengingatkan majikan agar mematuhi syarat pelaksanaan gaji minimum yang sudah berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:20 PM