GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosli Ilham

Kemaman: Lelaki yang mengejar kereta ibu mentuanya sehingga melanggar seorang anggota polis wanita di Chukai, di sini, semalam direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mengeluarkan perintah reman ke atas suspek yang berusia 51 tahun itu bermula hari ini.

Terdahulu, buruh terbabit dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret, di sini, kira-kira 9.10 pagi tadi.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan suspek memandu kereta Proton Saga dikatakan mengejar kereta yang dipandu ibu mentuanya berusia 69 tahun di Jalan Dato, Chukai kira-kira 11.30 pagi.

Sebaik cuba memotong kereta ibu mentuanya, suspek dipercayai terlanggar anggota polis wanita yang ketika itu sedang menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya di Balai Polis Chukai.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum itu suspek dikatakan memukul bahagian depan dan bumbung kereta Perodua Axia milik ibu mentuanya dengan kayu selepas mereka bertengkar.

Katanya, wanita itu yang takut dikatakan memandu keretanya untuk menyelamatkan diri ke Balai Polis Chukai sebelum dikejar suspek.

"Selepas berlaku kemalangan dengan anggota polis wanita terbabit, suspek bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan pada jarak kira-kira 18 kilometer dari tempat kejadian, kira-kira 2.15 petang.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta serta Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 2:13 PM