Rosli Ilham

Kemaman: Dua lelaki diberkas polis dipercayai terbabit melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira 4 pagi dalam dua tangkapan berasingan.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang bekerja di sebuah kedai serbaneka itu ditahan di sebuah rumah dan bengkel, hasil maklumat orang awam.

"Sebelum kejadian, pemilik kedai serbaneka berusia 19 tahun berbual dengan dua rakannya sebelum dihampiri dua-dua suspek yang menunggang motosikal sekitar 1.45 pagi.

"Suspek memakai topi keledar dan kain penutup muka bertindak mengacukan senjata tajam kepada mangsa manakala seorang lagi suspek menggunakan senjata menyerupai pistol," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

HANYAN (tengah) menunjukkan senjata dan barang rampasan. FOTO Rosli Ilham
HANYAN (tengah) menunjukkan senjata dan barang rampasan. FOTO Rosli Ilham

Hanyan berkata, ketika kejadian, suspek menggeledah kaunter premis sebelum melarikan wang tunai serta sebuah beg silang milik mangsa dan rakannya yang mengandungi wang tunai, tiga telefon bimbit dan barangan peribadi.

"Kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa kerugian sekitar RM7,000. Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan bersenjata secara berkumpulan di daerah ini yang berlaku sejak Oktober lalu," katanya.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah dan kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes rogol dan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:03 PM